BURGER KL Janda-Jandaku Gangster setinggi tiga tingkat menjadi jawapan kepada selera pengunjung yang berganda. |
Burger KL Janda-Jandaku Gangster
MALAM semakin dingin dan jarum jam di tangan sudah melebihi pukul 11 malam. Secara logiknya mengikut putaran alam, waktu begitu kebanyakan daripada kita sepatutnya sedang berkira-kira untuk masuk tidur. Mungkin juga ada yang sudah dibuai mimpi enak.
|
Namun, senario sebaliknya berlaku apabila anda mengunjungi Restoran Soho Seafood di Sungai Merab, Bangi, Selangor.
Orang ramai masih memenuhi kawasan itu tanpa terdapat tanda-tanda untuk mereka mahu pulang ke rumah.
Tegar melayani kedinginan embun pagi yang mula menitis, penangan hidangan di KL Burger Bakar adalah jawapan kepada segala-galanya.
Gara-gara burger bakar yang berharga antara RM7 hingga RM20, hidangan Barat di gerai itu telah mendapat sambutan luar biasa dan menimbulkan satu fenomena dalam kalangan pengunjung.
Pemiliknya, Mohammad Fikry Abdullah, 29, berkata, walaupun pada mulanya sesetengah pembeli merasakan bahawa harga burger itu agak mahal, namun selepas menikmatinya, mereka terpesona dengan rasa daging burger yang cukup enak dan empuk.
Tambahnya, selain ketebalan dan berat dagingnya mencecah sehingga 140 gram setiap keping, daging-daging tersebut telah diproses dengan resipi sendiri.
“Adunannya dibuat sendiri dengan campuran daging kisar, daun sup, bawang dan beberapa ramuan rahsia lain. Burger ini lebih enak jika dinikmati ketika masih panas kerana jus-jus daging yang meleleh,” katanya.
Hari ini, burger bakar semakin mendapat tempat dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat dan hidangan Barat itu sedang mengalami evolusi mendadak.
Lebih istimewa, daging burger tersebut bersaiz agak besar dan tebal berbanding burger konvensional. Ia dibakar menggunakan pemanggang dengan menggunakan arang sebagai bahan api.
Justeru, siapa mampu menepis keenakan hidangan daging burger bakar yang tebal yang panas-panas dan dilimpahi sos cili, sos lada hitam, mayonis, sos Thousand Island dan sos keju. Ia disempurnakan dengan sayur-sayur seperti salad, bawang dan nanas.
Menikmati hidangan berkenaan adalah mengikut cara masing-masing dan seseorang itu tidak perlu segan jika mulut comot sedikit. Itulah nikmatnya burger bakar!
Mohammad Fikry berkata, dia bersama dua kakitangan kini tidak menang tangan melayan pengunjung yang tidak putus-putus datang bermula pukul 6.30 petang hingga 12 tengah malam.
Ditanya cabaran bergelar usahawan burger bakar, dia menjelaskan, tanggapan masyarakat yang mengatakan bahawa makanan Barat itu cepat disiapkan seperti burger konvensional perlu dikikiskan.
Jelasnya, proses membakar daging burger mengambil masa antara 25 hingga 30 minit dan perlu dihidangkan ketika masih panas untuk mengekalkan kualitinya.
“Pada peringkat awal gerai ini dibuka, ramai pembeli yang kadang-kadang tidak faham dan sering merungut kenapa terpaksa menunggu lama. Namun, saya tidak salahkan mereka kerana mungkin tidak faham dengan proses penyediaan daging burger bakar.
“Tapi Alhamdulillah, selepas hampir tiga bulan beroperasi, semakin ramai pembeli tetap yang sudah faham malah ada yang sanggup menunggu giliran tempahan untuk tempoh masa yang lama,” katanya tersenyum.
Berkenaan nama hidangan KL Burger Bakar yang unik, dia memberitahu bahawa dia sengaja menampilkan kelainan menerusi penggunaan tajuk-tajuk filem sebagai daya penarik selain rasa dagingnya yang luar biasa.
Nama-nama filem dipilih kerana ia mencapai kutipan box-office dan dia percaya, jualan burger yang menggunakan nama tersebut juga mampu mencapai sasaran serupa.
Antara burger yang paling mendapat perhatian ialah burger KL Drift yang menampilkan daging burger dihias dengan kepingan keju serta daging salai.
“Burger KL Janda-Jandaku Gangster pula bagi mereka yang gemar menikmati makanan itu dalam kuantiti yang banyak iaitu daging burger yang disusun tiga tingkat dan dijual pada harga RM20,” katanya penuh semangat.
Kepada mereka yang ingin membuat tempahan awal atau majlis katering, anda boleh menelefon KL Burger Bakar, Sungai Merab, Bangi di talian 019-222 4475.
credit artikel to : Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA (ammar.jazlan@kosmo.com.my)
No comments:
Post a Comment