"Sayang, Abang minta izin untuk nikah sorang lagi," Aliyah yang sedang
melipat kain, terdiam seketika. Mungkin terkedu. Adakah pendengarannya
kian kabur lantaran usianya yang kian beranjak. Adakah dialog tadi hanya
dilafazkan di dalam TV, sementelah TV juga dipasang. Tapi, ahh bukanlah.
TV sedang menayangkan iklan Sunsilk, mustahil sudah ada siri baru iklan
Sunsilk?
Dia menghela nafas panjang.
Dia memandang sekali imbas wajah Asraf Mukmin, kemudian tersenyum.
Meletakkan kain yang telah siap dilipat di tepi, bangun lantas menuju ke
dapur. Langkahnya diatur tenang. Segelas air sejuk diteguk perlahan.
Kemudian dia ke bilik Balqis, Sumayyah, Fatimah. Rutin hariannya,
mencium puteri-puterinya sebelum dia masuk tidur. Dahulu, semasa
puterinya kecil lagi, rutin itu dilakukan dengan suaminya. Kini,
anak-anak kian beranjak remaja. Kemudian, dia menjenguk bilik putera
bujangnya yang berdua, si kembar, Solehin dan Farihin. Pengabisannya dia
kembali kepada suaminya.
Asraf Mukmin hanya diam, membatu diri. Dia amat mengenali isterinya.
Jodoh yang diatur keluarga hampir 16 tahun yang lepas menghadiahkan dia
sebuah keluarga yang bahagia, Aliyah adalah ikon isteri solehah. Namun,
kehadiran Qistina, gadis genit yang menjawat jawatan pembantu tadbir
kesetiausahaan di jabatannya benar-benar membuatkan dia lemah.
"Kau mampu Asraf, dengan gaji kau, aku rasa kau mampu untuk beri makan 2
keluarga," sokongan Hanif, teman sepejabat menguatkan lagi hujah apabila
dia berdepan dengan Aliyah.
" Abang Asraf, Qis tak kisah. Qis sanggup bermadu jika itu yang
ditakdirkan. Bimbinglah Qis, Qis perlukan seseorang yang mampu memimpin
Qis," masih terngiang-ngiang bicara lunak Qis.
Akhir-akhir ini, panas rasanya punggung dia di rumah. Pagi-pagi, selesai
solat subuh, cepat-cepat dia bersiap untuk ke pejabat. Tidak seperti
kelaziman, dia akan bersarapan berjemaah bersama isteri dan anak- anak.
Aduhai, penangan Qis gadis kelahiran Bumi Kenyalang benar-benar menjerat
hatinya.
" Abang , Aliyah setuju dengan permintaan Abang. Tapi, Aliyah nak
berjumpa dengan wanita tu," Lembut dan tenang sayup-sayup suara
isterinya. Dia tahu, Aliyah bukan seorang yang panas baran. Aliyah
terlalu sempurna, baik tetapi ahh hatinya kini sedang mengilai wanita
yang jauh lebih muda.
"Bawa dia ke sini, tinggalkan dia bersama Aliyah selama 1 hari saja,
boleh?" pelik benar permintaan isterinya. Hendak dipengapakan apakah
buah hatinya itu? Namun, tanpa sedar dia menganguk, tanda setuju. Sebab,
dia yakin isterinya tidak akan melakukan perkara yang bukan-bukan. Dan
hakikatnya dia seharusnya bersyukur. Terlalu bersyukur. Kalaulah
isterinya itu wanita lain, alamatnya perang dunia meletus lah jawabnya.
Melayanglah periuk belanga. Ehhh, itu zaman dulu-dulu. Zaman sekarang
ni, isteri-isteri lebih bijak.
Teringat dia kisah seorang tentera yang disimbah dengan asid, gara-gara
menyuarakan keinginan untuk menambah cawangan lagi satu. Kecacatan
seumur hidup diterima sebagai hadiah sebuah perkahwinan yang tidak
sempat dilangsungkan. Dan dia, hanya senyuman daripada Aliyah.
"Apa, nak suruh Qis jumpa dengan isteri Abang," terjegil bulat mata Qis
yang berwarna hijau. "Kak Aliyah yang minta," masih lembut dia memujuk Qis.
"Biar betul, apa dia nak buat dengan Qis?" "Takutlah Qis, silap
haribulan dia bunuh Qis!" terkejut Asraf Mukmin. "Percayalah Qis, Aliyah
bukan macam tu orangnya. Abang dah lama hidup dengannya. Abang faham,"
Qistina mengalih pandangannya.
Mahu apakah bakal madunya berjumpa dengannya? Dia sering disogokkan
dengan pelbagai cerita isteri pertama membuli isteri kedua. Heh, ini
Qistina lah. Jangan haraplah jika nak membuli aku. Desis hati kecil
Qistina. Hari ini genap seminggu Qistina bercuti seminggu. Seminggu
jugalah dia merindu. Puas dicuba untuk menghubungi Qistina, namun tidak
berjaya. Rakan serumah menyatakan mereka sendiri tidak mengetahui ke
mana Qistina pergi. Genap seminggu juga peristiwa dia menghantar Qistina
untuk ditemuduga oleh Aliyah. Sedangkan dia diminta oleh Aliyah
bermunajat di Masjid Putra. Di masjid itu, hatinya benar-benar terusik.
Sekian lamanya dia tidak menyibukkan dirinya dengan aktiviti keagamaan
di masjid Putra.
Dulu, sebelum dia mengenali Qistina, saban malam dia akan bersama dengan
Aliyah serta anak-anaknya, berjemaah dengan kariah masjid. Kemudian
menghadiri majlis kuliah agama. Membaca Al-Quran secara bertaranum itu
adalah kesukaannya. Namun, lenggok Qistina melalaikannya. Haruman
Qistina memudarkan bacaan taranumnya. Hatinya benar-benar sunyi. Sunyi
dengan tasbih, tasmid yang sering dilagukan. Seharian di Masjid Putra,
dia cuba mencari dirinya, Asraf Mukmin yang dulu. Asraf Mukmin anak Imam
Kampung Seputih. Asraf Mukmin yang asyik dengan berzanji. Menitis air
matanya. Hatinya masih tertanya-tanya, apakah yang telah terjadi pada
hari itu. Aliyah menunaikan tanggungjawabnya seperti biasa. Tiada
kurangnya layanan Aliyah. Mulutnya seolah-olah terkunci untuk bertanya
hal calon madu Aliyah.
Tit tit... sms menjengah masuk ke kantung inbox hensetnya. "Qis minta
maaf. Qis bukan pilihan terbaik utk Abang jadikan isteri. Qis tidak
sehebat kak Aliyah. Qis perlu jadikan diri Qis sehebatnya untuk bersama
Abang.
"
Dibawah hensetnya, ada sekeping sampul besar.
Kepada: Asraf Mukmin, Suami yang tersayang...
Asraf Mukmin diburu kehairanan. Sampul berwarna cokelat yang hampir saiz
dengan A4 itu dibuka perlahan.
---------------------------------------------------------------
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani.
Salam sejahtera buat suami yang tercinta, moga redhaNya sentiasa
mengiringi jejak langkahmu. Abang yang dikasihi, genap seminggu sesi
temuduga yang Aliyah jalankan pada Qistina. Terima kasih kerana Abang
membawakan Aliyah seorang calon madu yang begitu cantik. Di sini Aliyah
kemukakan penilaian Aliyah.
1. Dengan ukuran badan ala-ala model, dia memang mengalahkan Aliyah yang
sudah tidak nampak bentuk badan. Baju- bajunya memang mengikut peredaran
zaman. Tapi, Aliyah sayangkan Abang. Aliyah tak sanggup Abang diheret ke
neraka kerana menanggung dosa. Sedangkan dosa Abang sendiri pun, masih
belum termampu untuk dijawab di akhirat sana , apatah lagi Abang nak
menggalas dosa org lain. Aliyah sayangkan Abang...
2. Aliyah ada mengajak dia memasak. Memang pandai dia masak, apatah lagi
western food. Tapi, Aliyah sayangkan Abang. Aliyah tahu selera Abang
hanya pada lauk pauk kampung. Tapi tak tahulah pula Aliyah kalau-kalau
selera Abang sudah berubah. Tapi, Aliyah masih ingat lagi, masa kita
sekeluarga singgah di sebuah restoran western food, Abang muntahkan
semua makanan western food tu. Lagi satu, anak-anak kita semuanya ikut
selera ayah mereka. Kesian nanti, tak makan la pula anak-anak kita.
Aliyah sayangkan Abang...
3. Aliyah ada mengajak dia solat berjemaah. Kelam kabut dibuatnya.
Aliyah minta dia jadi Imam. Yelah, nanti dia akan menjadi ibu pada
zuriat Abang yang lahir, jadinya Aliyah harapkan dia mampu untuk
mengajar anak-anak Abang untuk menjadi imam dan imamah yang beriman.
Tapi, kalau dia sendiri pun kelam kabut memakai telekung... Aliyah
sayangkan Abang...
Abang yang disayangi, cukuplah rasanya penilaian Aliyah. Kalau diungkap
satu persatu, Aliyah tak terdaya. Abg lebih memahaminya. Ini penilaian
selama 1 hari, Abang mungkin dapat membuat penilaian yang jauh lebih
baik memandangkan Abang mengenalinya lebih dari Aliyah mengenalinya.
Abang yang dicintai, di dalam sampul ini ada borang keizinan
berpoligami. Telah siap Aliyah tandatangan. Juga sekeping tiket
penerbangan MAS ke Sarawak. Jika munajat Abang di Masjid Putra
mengiayakan tindakan Abang ini, ambillah borang ini, isi dan pergilah
kepada Qistina. Oh ya, lupa nak cakap, Qistina telah berada di Sawarak.
Menunggu Abang... Aliyah sayangkan Abg...
Tetapi jika Abg merasakan Qistina masih belum cukup hebat untuk
dijadikan isteri Abang, pergilah cari wanita yang setanding dengan
Aliyah... Aliyah sayangkan Abg.
Tetapi, jika Abg merasakan Aliyah adalah isteri yang hebat untuk
Abangg.. tolonglah bukakan pintu bilik ni. Aliyah bawakan sarapan
kegemaran Abang, roti canai.. air tangan Aliyah.
Salam sayang, Aliyah Najihah binti Mohd Hazery.
sama-samalah kita renungkan cerita ini..
adakah kita akan setabah itu wahai para isteri??
dan utk suami jgn ikutkan nafsu tetapi pndglah permata di dpn mata...
No comments:
Post a Comment